Dia memang nampak sempurna dari semua segi. Dikurniakan wajah yang  jelita, otak yang cerdas dan dilahirkan dalam keluarga yang berada.  Sesiapa saja akan mencemburui nasib Azalea. Tutur kata yang lemah lembut  dan tingkah laku yang sopan amat disenangi setiap orang. Azalea memang  disenangi, ramah dan tidak sombong dengan kelebihan yang diamiliki.
Gadis  itu nampak gembira sekali, bahkan dia bagaikan dicipta untuk hidup  gembira saja. Tapi, siapa tahu? Gadis itu gadis yang sedang menunggu  saat kematian yang muncul bila-bila masa. Dia di sahkan menghidap  penyakit barah hati. Sampai sekarang dia menanti penderma yang sesuai.  Tapi, hasilnya masih mengecewakan, sedangkan barah itu semakin menular.  Kadang-kadang dia ingin seperti orang lain, biar tidak kaya, biar tidak  bijak, biar tidak cantik, asalkan dirinya sihat. Dia menangis  keseorangan. Hanya keluarga yang prihatin mendorongnya untuk terus  hidup.
Dia takut sekali untuk memejamkan mata, takut  lenanya tanpa jaga. Derita yang ditanggung amat menyakitkan. Ada kala  dalam gelak air matanya mengalir. Dia takut sekali apabila tiba-tiba  lintasan ajal dan dia dijemput menghadap Ilahitanpa sempat menyampaikan  pesan kepada insan-insan tersayang.
Saat-saat yang dilalui  seakan tiada makna. Dia betul-betul rasa buntu denganarah hidupnya. Di  kampus dia menjalani hidup seperti kebiasaan. Dia seorang pelajar yang  baik. Dia memang hebat di mata pensyarah-pensyarah dan kawan-kawan.  Tapi, tidak bagi Amri, baginya, gadis itu terlalu sempurna. Dia harus  mencari kelemahan gadis itu. Dia tidak senang apabila nama gadis itu  sentiasa menjadi yang mendahuluinya dalam setiap perkara. Ada dendam  yang harus dilangsaikan.
Azalea sendiri tidak mengerti  dengan lelaki itu. apa yang dia buat serba tak kena di mata Amri. Dia  tidak kenal sangat dengan lelaki itu, tapi dia senang sekali melihat  wajah tenang jejaka itu. Tapi dia tidak tahu kenapa lelaki itu sering  mahu berdebat dengannya. Ada-ada saja yang hendak dibantah. Wajah lelaki  itu tetap tenang, walaupun kata-kata berbisa yang keluar dari mulut  itu. Namun dia tahu lelaki itu baik kerana kawan-kawan tidak pernah  berkata buruk tentang lelaki itu.
Amri mendapat idea untuk  mendekatkan diri pada Azalea. Melalui risikannya daripada beberapa  teman gadis itu, gadis itu mudah bersimpati. Dia harus mengambil peluang  itu. Gadis itu harus menebus kesalahan ayahnya. Ayah gadis itu telah  membunuh ibu bapaku, ayah gadis itu telah menyebabkan ibu bapanya  terlibat dalam kemalangan maut.
" Assammualaikum.... Lama  dah kita sekelas. Tapi..tak pernah berbualkan?" Amri memberanikan diri  menyapa gadis itu. Dia berharap gadis itu sudi memanjangkan bicara. Dia  perasan kekagetan wajah itu.
" Tak sudi ke?" Tanya Amri. Azalena terpana.
" Eh! Waalaikummussalam... hmmm..apa awak cakap tadi?" Tanya Azalea separuh sedar. Tidak menyangka lelaki itu akan menyapanya.
"Hmmm...saya  cakap. Kita dah lama sekelas. Tapi tak pernah berbual. Boleh kita  berbual sekejab? Sebagai kawan." Amri cuba membuatkan gadis itu selesa.  Azalea tersenyum, dia membetulkan duduknya. Amri agak terpesona dengan  senyuman itu. Betul kata kawan-kawan. Gadis itu memang sangat cantik.  Dia cuba menghalau perasaan asing yang cuba menular. Dia mengingatkan  diri tentang dendamnya.
" Oh....apa salahnya. Saya  ingatkan awak tak suka kat saya." Ucap Azalea berterus terang. Amri  sedikit terkejut, tapi dia kembali mengawal perasaannya. Gadis manis  bertudung putih di depannya itu sukar sekali dibenci. Dia sudah berusaha  untuk membenci, tapi ternyata tidak sedikit pun perasaan benci itu  hinggap di hatinya. Yang ada hanyalah perasaan kurang senang dan dendam  terhadap bapa Azalea.
" Awak ingat saya tak suka awak ke?" soal Amri. Azalea terdiam sebentar.
"  Hmm...memang saya fikir macam tu. Yelah...kita selalu sangat berdebat.  Saya minta maaf andai awak terasa." Balas Azalea. Dia meliarkan  pandangan disekitar kantin itu. Rohani kawan rapatnya belum jugak  muncul.
" Tak adalah.... Bukan saya tak suka. Tapi saya  suka dengar awak membalas setiap patah perkara yang kita debatkan.  Walaupun berdebat, suara awak tetap lembut. Saya suka dengar awak  bercakap." Tanpa sedar Amri meluahkan sedikit rahsia hatinya. Dia tidak  dapat menafikan yang dia suka mendengar suara gadis itu, lembut dan  bersopan. Wajah Azalea merah.
" Boleh kita jadi kawan?" Tanya Amri melindung gugup. Dia takut sekali niat membalas dendamnya tersasar.
" Boleh..... Panggil saya Alea." Balas Azalea ramah.
"  Saya... Amri, awak boleh panggil saya Am. Kalau nak panggil abang Am  pun boleh." Amri cuba bergurau. Azalea tergelak. Amri sekali lagi  tergamam, manis dan cantik sekali.
" Tak sangka awak ni suka bergurau." Azalea mula menyenangi kehadiran lelaki itu.
"  Banyak yang awak tak tau tentang saya tau. Tak kenal maka tak cinta.  Mana tau lepas kenal saya awak jatuh cinta. Ops..." Amri menutup  mulutnya. Azalea tergelak lagi.
" Tak semudah itu saya  jatuh cinta tau." Azalea menegaskan katanya sekadar membalas usikan  Amri. Bukan dia tak nak jatuh cinta, tapi dia takut tidak mampu membalas  cinta itu kerana hatinya makin lemah.
" Apa? Awak ada  kanser? Cakap betul-betul Am, jangan main-main." Azalea terkejut  mendengar berita yang disampaikan oleh Amri itu. Sukar dia hendak  menerima semua itu menimpa sahabat baiknya. Sejak tiga bulan dulu, Amri  menjadi sahabat baiknya. Walaupun masih ligat berdebat, tapi tutur kata  tetap dijaga.
" Betul Alea. Dah lama dah saya sakit."  Bohong Amri. Azalea sayu melihat wajah Amri, rupa-rupanya bukan aku  seorang aje yang menunggu kematian. Dia pun, dia memang seorang yang  tabah. Hanya aku yang seakan mengalah dengan penyakit ini.
"  Saya tak sangka...awak pun ada penyakit berbahaya." Azalea sebak. Amri  menyembunyikan senyuman, dia berjaya memancing simpati Azalea. Dia dapat  melihat air mata berlinang di tebing kelopak mata gadis itu.
"  Saya pun tak sangka pada mulanya. Tapi, bila doctor bagi tau, saya rasa  dunia saya dah musnah. Saya sedih sangat. Awak nak ke berkawan dengan  saya? Seorang yang sedang menunggu kematian yang entah tiba-tiba akan  datang."Bohong Amri lagi. Azalea mengesat air matanya. Wajah itu ditatap  penuh ikhlas.
" Saya akan tetap di sisi awak, walau macam  mana pun keadaan awak. Kita sama-sama habiskan sisa hidup yang ada  dengan bahagia." Tanpa sedar Azalea melafazkan kata-kata. Amri agak  keliru dengan ayat terakhir Azalea. Sisa hidup?Tapi dia malas hendak  berfikir panjang. Apa yang dia tahu dia gembira apabila Azalea  betul-betul percaya kepadanya.
Azalea menghantar langkah  Amri dengan air mata. Dia dapat melihat kepiluan dimata itu. Kita  sama-sama menunggu kematian Am. Kita sama-sama akan habiskan sisa hidup  bersama. Bisik hati Azalea.
" Kenapa ni nak? Alea sakit ke  sayang? " Tanya Datin Naini, ibu kesayangan Azalea. Bawah mata sembab  anaknya dipandang dengan hati yang tertanya-tanya. Dia memegang bahu  anaknya lembut. Azalea memeluk tubuh kurus ibunya.
"  Mak....dia pun macam Alea. Dia pun seorang yang menunggu kematian. Dia  pun sakit..." sedu Azalea di bahu itu. Datin Naini tidak mengerti, dia  hanya membiarkan anaknya meluahkan dulu apa yang disimpan. Sambil itu  tangannya mengusap belakang anaknya dengan penuh sifat keibuan.
"  Alea ingat... Alea je yang paling malang. Tapi, rupa-rupanya ada orang  lain jugak yang menderita. Tapi dia sungguh tabah. Dia tak pernah nampak  patah semangat macam Alea. Alea nak jadi macam dia." Tangis Azalea.  Datin Naini menarik tangan anaknya lembut ke sofa. Mereka melabuhkan  punggung di situ. Dia mengusap lembut kepala anaknya di pangkuan. Dia  ingin tahu siapa gerangan yang diceritakan anaknya. Dia ingin  mengucapkan terima kasih pada insan itu.
" Siapa tu nak?" Tanya Datin Naini sebak.
"  Am mak... kawan Alea yang Alea cakap dulu. Dia sakit mak, tapi dia tak  putus asa. Dia tabah." Beritahu Azalea diiringi esak tangisnya.
"  Janganlah menangis sayang... mak nak anak mak tabah macam dia." Ucap  Datin Naini. Azalea angguk perlahan, dia masih berbaring manja di  pangkuan ibunya. Dia memang manja, biarpun nampak serius, namun keletah  manjanya hanya tika dia bersama dengan keluarga kesayangan.
"  Awak...awak dah makan ubat?" Amri tersentak dari menungan. Dia menoleh  ke arah suara lembut itu. Dia teruja melihat senyuman manis Azalea.  Bibirnya kaku untuk bersuara, entah mengapa dadanya berdebar semacam.
"  Kenapa awak ni?" Tanya Azalea hairan. Dia mengambil tempat di sisi  Amri. Amri diam, dia dapat menghidu wangian yang sering digunakan gadis  itu walaupun jarak mereka agak jauh di kerusi panjang itu.
" Am..." panggil Azalea. Amri tersentak lagi.
"  Awak... apa awak Tanya tadi?" Amri tersipu mengenangkan kelekaannya  tadi. Wajahnya hangat apabila mendengar gelak halus di sisinya. Dia  teruja lagi melihat tawa itu, gigi gadis itu tersusun kemas nampak indah  bila ketawa.
" Awak berangan ya..." usik Azalea.
" Mana ada..." nafi Amri.
" Eleh...bohong...tadi tu apa? Tak dengar pun soalan saya." Azalea ingin mengusik lagi.
" Tadi tu saya berfikir..." balas Amri sambil tersengih. Azalea tergelak, Amri ikut sama gelak.
" Awak ni ada-ada je.. saya tanya tadi... awak dah makan ubat?" Tanya Azalea prihatin. Amri mengelabah.
"  Dah...dah..sebelum ke sini tadi saya dah makan." Bohongnya, walaupun  menyedari menipu itu berdosa, tapi dia bertekad untuk meneruskan jugak.  Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.
"  Hmmm...baguslah macam tu. Saya tak nak kawan saya sakit." Ucap Azalea.  Dia menyatu jari jemarinya. Memang mereka selalu menghabiskan masa  disitu, di taman bersebelahan dengan perumahan keluarga Azalea. Adik  bongsu Azalea sentiasa menemani mereka, Azirul yang berusia 10 tahun  sedang leka bermain buaian.
" Kawan je?" Tanya Amri berani. Giliran Azalea tersentak.
" Apa maksud awak?" Tanya Azalea sedikit cuak. Dia takut, takut rahsia hatinya turut diketahui.
" Awak tak pernah ke..sayang kat saya?" Tanya Amri.
"  Sayang....saya sayangkan awak sebagai kawan saya." Balas Azalea  berpura-pura tenang. Amri tidak putus asa, misinya mesti berjaya.
"  Saya nak kahwin dengan awak Alea. Saya tau saya tak layak, tapi saya  cintakan awak. Saya nak awak jadi isteri saya." Luah Amri berani. Azalea  tergamam. Dia terdiam.
" Alea....bagilah jawapan. Jangan membisu je.." Amri sedikit mendesak.
"  Tak boleh Am.. kita tak boleh kahwin." Balas Azalea. Dia takut, saat  dia berbahagia nanti dia tidak sampai hati untuk meninggalkan lelaki  itu.
" Kenapa tak boleh? Kenapa? Kerana saya dah nak mati?  Sebab itu awak tak nak pertaruhkan hidup dengan orang yang berpenyakit  macam saya?" tegas Amri. Dia berdiri tegak. Azalea masih membisu. Bukan  begitu Am, hatiku memang kuat mencintai kau, tapi... hatiku juga makin  lemah untuk menjalankan fungsinya. Jerit hatinya. Tiada siapa tahu  perasaannya melainkan yang Maha Esa.
" Tak payah cakap  apa-apapun saya tau Alea. Awak memang tak sanggup nak hidup dengan orang  yang dah nak mati macam saya." Amri melangkah ingin pergi dari situ.  Azalea terpana, pantas tangannya mencapai lengan Amri. Nasib baik Amri  menggunakan baju lengan panjang. Perlahan-lahan, Amri berpaling  memandang Azalea. Dia terkejut melihat wajah itu sudah basah dengan air  mata.Terasa ingin sekali dia mengesat air mata itu, tapi dia sedar  batasan mereka. Dia rasa bersalah dengan penipuannya. Azalea turut  melepaskan pergelangan tangan Amri.
" Am... awak tak  faham. Saya pun gadis yang menunggu kematian. Am... saya tak kuat Am..  saya sayang awak. Tapi... keadaan tidak membenarkan saya menyempurnakan  kehendak awak dan saya sendiri. Lagipun kita masih belajar. Am...maafkan  saya." Ucap Azalea pantas berlalu meninggalkan Amri. Amri tergamam di  situ, dia hanya memandang Azalea melangkah pergi sambil berpegangan  tangan dengan Azirul. 'Gadis yang menunggu kematian?' apa maksud dia?
Amri  terkejut apabila menerima panggilan daripada ibu Azalea memberitahu  ingin berjumpa. Dia menerima pelawaan wanita itu. Seperti yang  dipersetujui mereka bertemu di restoran Rasa Sedap. Dari jauh dia  melihat wanita yang berusia separuh abad sambil ditemani Azirul, adik  Azalea.
" Assalammualaikum mak cik..." sapa Amri.
"  Waalaikummussalam.... Duduk Am.." balas Datin Naini sambil tersenyum  ramah. Amri melabuhkan punggung sambil menundukkan sedikit kepala  sebagai tanda hormat. Amri hanya memesan air tembikai, dia tidak  berselera untuk makan. Dia hanya hendak mengetahui tujuan ibu Azalea itu  menemuinya.
" Begini Am... Mak cik dapat tau Am dah  melamar Alea untuk jadi isteri. Betulke? Am serius?" Tanya Datin Naini.  Amri telan air liur." Betul mak cik. Saya memang nak dia jadi isteri  saya. Saya tau saya tak layak, tapi saya sayang dia mak cik. Berilah  saya peluang makcik." Ucap Amri berani. Datin Naini mengangguk-anggukkan  kepala beberapa kali. Pesanan air tembikai Amri sudah sampai, Amri  meneguk air beberapa kali. Terasa kering tekaknya.
" Tahu kenapa Alea menolak?" Tanya Datin Naini lagi. Amri menggelengkan kepala.
"  Am... makcik memang tak halang kalau korang nak kahwin. Family kami  okey.. cuma Alea. Dia rasa dia tak mampu bahagiakan Am nanti. Dia pun  macam Am, dia sakit jugak Am. Selama ni dia pinjam semangat Am untuk  teruskan hidup. Makcik pun nak ucapkan terima kasih kerana Am telah  pulihkan semangat dia untuk hidup." Amri terpana mendengar kata-kata  Datin Naini. Alea sakit? Sakit apa?
" Apa maksud mak cik?" Tanya Amri dengan debaran.
"  Dia dah lama menghidap barah hati Am. Mak cik tau, memang dia tak  pernah cakap kat kawan-kawan dia sebab dia tak nak orang susah hati.  Tapi mak cik harap Am pun sudi terima dia." Amri tersandar di kerusi  mendengar kenyataan itu. 'kita sama-sama habiskan sisa hidup kita'. 'saya gadis yang menunggu kematian'. Bagaikan terngiang-ngiang kata-kata Azalea dulu. Dia rasa bersalah sangat.
"  Am tak tau mak cik... tapi... izinkan saya ambik dia sebagai isteri  saya." Kali ini Amri benar-benar bertekad. Dia ikhlas untuk  memperisterikan gadis itu, bukan untuk melunaskan dendamnya.
" Mak cik sentiasa merestui Am. Mak cik izinkan." Balas Datin Naini sebak. Dia ingin anaknya bahagia.
"  Tapi....ada perkara saya nak terus terang kat mak cik. Saya harap  makcik maafkan saya. Tentang perasaan saya terhadap Alea, saya tak tipu,  saya memang cintakan dia." Amri ingin berterus terang. Datin Naini  angguk. Amri menceritakan segalanya. Bermula dari rancangannya pada  mulanya hendak membalas dendam, menjadi kawan kepada Azalea dan akhirnya  jatuh cinta. Berkali-kali dia berjanji akan membahagiakan Azalea  sebelum Datin Naini benar-benar yakin.
......................................................................................
"  Saya cintakan awak.... banyak..." lafaz Amri ketika dia bersantai  bersama isteri kesayangan di koridor chalet. Sudah 2 minggu mereka  bergelar suami isteri, dan 3 hari yang lalu mereka sampai di situ untuk  berbulan madu.
" Saya cintakan diri saya sendiri..."  terbeliak mata Amri mendengar kata-kata isterinya. Dia memasamkan wajah  melihat wajah nakal isterinya mengusik. Pantas dia menyambar tubuh  isterinya. Azalea terjerit.
" Lepaslah...." Azalea  menjerit kecil, dia memukul-mukul kecil lengan suaminya yang kemas  dipinggangnya. Pelukan itu semakin erat, akhirnya dia hanya membiarkan  tangan itu menyulami pinggangnya. Dia mencari wajah suaminya  dibelakangnya.
" Alea cintakan abang tak?" Tanya Amri  manja. Dia membelai rambut Azalea, sudah lama dia mengangankan untuk  membelai rambut itu, akhirnya setelah menjadi suami isteri dia dapat  jugak merasa nikmat itu. Hanya dia yang berhak berbuat begitu, hanya  dia, kerana isterinya itu tidak akan membenarkan rambut itu dilihat  lelaki bukan halal.
" Alea....cintakan diri sendiri aje...." Balas Alea lagi. Amri memuncungkan mulut.
"  Malam ni abang tinggalkan Alea tidur sorang-sorang je. Biar Alea kena  gigit hantu." Usik Amri. Azalea tertawa. Dia melentokkan kepala manja  dibahu suami tercinta. Dia mengusap pipi Amri, Amri suka sekali dengan  tingkahmanja Azalea. Bukan dibuat-buat, tapi spontan. Dia sendiri pun  tidak menyangka gadis yang nampak serius seorang yang manja.
" Perlu ke Alea nak ucap yang Alea cintakan abang? Abang dah jadi sebahagian dari diri Alea, jadi... Alea  cintakan abang seperti cinta pada diri sendiri. Alea cintakan abang  kerana cinta abang terhadap yang Maha Esa. Alea cintakan abang kerana  ketaqwaan abang terhadap Allah. Alea sentiasa berdoa agar cinta kita  terhadap Allah melebihi cinta kita terhadap diri sendiri." LuahAzalea.
"  Terima kasih kerana jadi isteri abang." Ucap Amri. Azalea hanya  tersenyum sambil mengucup tangan suaminya. Amri insaf mendengar  kata-kata isterinya. Dia begitu bersyukur bertemu jodoh dengan Azalea.  Dia masih ingat betapa payah dia hendak meyakinkan Azalea menerimanya  dulu. Dia masih ingat esak tangis gadis memberitahu yang dia gadis yang  menunggu kematian.
" Abang... Alea rasa tak sihat..." adu  Azalea selepas mereka solat subuh berjemaah pagi itu. Amri pantas meraba  dahi isterinya. Dia risau apabila merasa kehangatan di situ.
" Alea dah makan ubat?" Tanya Amri.
" Dah..." balas Azalea. Amri menarik tangan isterinya lembut dan membaringkan tubuh itu ke tilam.
" Meh sini abang picit ye.... Pukul 9 nanti abang bawa pergi klinik."Amri memicit lembut dahi isteri tercinta.
" Kita kan ada kuliah nanti." Balas Azalea.
"  Alah....kita ponteng sekali ni aje. Lagipun Alea tak sihat, nanti minta  MC dari doctor." Ucap Amri, jemarinya masih memicit lembut dahi itu.  Lagipun hanya tinggal sebulan lagi mereka menjadi pelajar.
"  Alea je yang dapat MC tau.." Azalea tergelak. Amri turut tergelak.  Azalea memejamkan mata mengusir rasa pening. Dia akhirnya terlelap.
Selepas  menjalankan pemeriksaan Azalea duduk di sisi suaminya di depan meja  doctor. Doctor Nur tersenyum pada pasangan suami isteri muda itu. Dia  membelek kertas di tangannya
" Tahniah... you berdua bakal  jadi ibu dan ayah." Doctor Nur menghulurkan tangan pada Azalea.  Teragak-agak Azalea menyambut, dia tergamam. Amri di sebelah bagaikan  hendak menjerit kegembiraan. Wajahnya berseri.
" Berapa bulan doctor?" Tanya Amri gembira, tangan isterinya digengam erat.
"  Baru masuk lapan minggu. Hmm...jaga wife you baik-baik  tau.Lagipun..kesihatan dia pun tak berapa baik jugak." Pesan doctor Nur.  Azalea hanya terdiam.
Azalea hanya membisu sejak dari tadi. Tidak sepatah pun bersuara, Amri perasan perubahan isterinya.
"  Kenapa ni sayang? Alea tak bahagia, tak lama lagi kita akan jadi ayah  dan ibu?" Tanya Amri sebaik mereka keluar dari bilik doctor Nur.
"  Abang...abang tak ingat ke keadaan kita? Kita mungkin tak dapat hidup  lama bang....macam mana dengan anak kita nanti? Mereka akan kehilangan  kita. Ataupun...Alea akan pergi sebelum sempat melahirkan baby ni.."  luah Azalea. Dia mengusap perutnya yang masih kempis. Ibu sayangkan  baby... maafkan ibu...
Amri memeluk isterinya. Dia mengerti kenapa isterinya begitu.
"  Alea kena ingat... Allah yang menentukan segalanya. Allah memang nak  bagi baby ni untuk kita sebagai bukti cinta kita." Pujuk Amri. Azalea  hanya angguk.
" Kita berserah pada Allah...kita jangan  terlalu cepat berputus asa. Alea kena jaga diri dan baby tau. Terima  kasih kerana kandungkan zuriat abang.... Abang cintakan Alea." Ucap  Amri.
" I love you too."
" I love you three.." balas Amri nakal. Azalea tergelak bahagia.
"  Syukurlah.... Alea nampak sihat je.." Datin Naini tersenyum bahagia  melihat anaknya yang sedang sarat mengandung dengan jubah konvokesyen.  Mereka bergambar kenang-kenangan bersama keluarga dan kawan-kawan. Teruk  jugak Amri dan Azalea di usik teman-teman yang nakal.
Datin Naini memimpin tangan Azalea duduk di bangku panjang. Amri mengambil gambar isterinya berkali-kali.
"  Mak...jaga anak Alea nanti ye... kalau Alea tak sempat tengok dia  besar. Mak kena tolong abang Am jagakan anak kami. Mak bawakan dia lawat  Alea nanti. Mak kena janji ya... mak kena cakap kat anak kami, yang  Alea sangat sayangkan mereka." Datin Naini terpana mendengar permintaan  anaknya. Dia menangis memeluk anaknya.
" Jangan cakap  macam tu nak... kita jaga sama-sama." Balas Datin Naini.Datuk Azrul dan  Amri yang memandang kelakuan dua beranak itu menahan sebak.Tiada lagi  dendam Amri terhadap Datuk Azrul kerana rupa-rupanya Datuk Azrul telah  menebus kesalahan dengan menanggung segala perbelanjaannya dulu. Dia pun  baru tahu setelah mak usunya menceritakan hal sebenar. Lagipun menurut  makusunya, kemalangan itu memang tidak disengajakan.
"  Cakap kat abang Am... kalau anak-anak ni kembar perempuan namakan dia  Alia Balqis dan Anisa Balqis. Dan kalau dua-dua lelaki Arief Amsyar dan  Arief Ammar." Pesan Azalea lagi. Datin Naini gagal bersuara kerana  menahan tangis. Datuk Azrul dan Amri menghampiri mereka.
" Kenapa ni?" Tanya Datuk Azrul lembut, penuh dengan naluri kebapaan.
" Tak ada apa-apa abah...." Balas Azalea.
Amri  menghampiri katil yang menempatkan tubuh isterinya. Wajah pucat itudi  pandang dengan rasa cinta yang tak berbelah bagi. Tangan itu dikucup  penuh kasih sayang. Ibu kepada sepasang anak kembarnya itu masih nampak  cantik walaupun terlantar di situ.
" Abang..... Arief dengan Balqis mana?" Tanya Azalea. Amri duduk disisi katil, dahi itu dikucup lama.
" Mereka kat dalam bilik baby. Terima kasih sayang...anak-anak kita comel.Muka sebijik macam ibu mereka." Amri tersenyum manis.
"  Abang.... Alea nak tengok Arief dengan Balqis... boleh abang bawa  kesini?" pohon Azalea penuh berharap. Amri angguk, pantas berlalu ke  bilik bayi. Dia kembali ke situ bersama ibu bapa Azalea yang mendukung  anak-anaknya. Amri membantu Azalea duduk dan menyandarkan tubuh  isterinya ke dadanya. Mereka menyambut anak-anak mereka dari ibu bapa  Azalea.
" Anak ibu...." Bisik Azalea pada dua bayi di  depannya. Balqis dipangkuannya dan Arief di pangkuan suaminya. Datuk  Azrul dan Datin Naini meninggalkan pasangan itu. Azalea tertawa melihat  wajah comel anak-anaknya. Selepas itu Arief pulak beralih ke  pangkuannya, Balqis diserahkan kepada Amri. Wajah Arief dan Balqis  dicium bertalu-talu tanpa jemu.
" Abang jaga anak kita  tau. Alea tak mampu nak tengok anak-anak kita membesar. Alea tau mereka  selamat di sisi ayah mereka. Kalau abang nak cari suri lain untuk ganti  Alea pun, Alea tak kisah bang. Alea rasa, Alea tak mampu nak jaga abang  dengan anak-anak." pesan Azalea. Amri sebak.
" Alea..abang ada rahsia nak cakap. Abang sebenarnya..tak"
" Tak sakit kan?" teka Azalea. Amri tergamam, macam mana Alea tahu?
" Macam mana... Alea.. tau?"
" Alea tak pernah tengok abang makan ubat sejak kita jadi suami isteri." Balas Azalea.
"  Maafkan abang sayang. Abang terlalu cintakan Alea. Dulu memang abang  nak berterus terang, tapi abang takut Alea tak terima abang. Mak pun tak  bagi abang cakap kat Alea." Pohon Amri. Ubun-ubun isterinya dikucup.
"  Alea tak kisah bang. Alea tak salahkan abang. Abang telah bahagiakan  Alea sepanjang kita jadi suami isteri. Abang kena janji akan jaga anak  kita baik-baik tau. Alea cintakan abang..." ucap Azalea. Air mata Amri  mengalir.
..........................................................................................
"  Ayah...." Amri tersentak mendengar suara anak gadisnya memanggilnya.  Selepas itu dia terasa tubuhnya dipeluk erat oleh jejaka di sebelah.  Kemudian gadis yang seiras arwah isterinya memeluknya.
"  Ayah....jom kita balik. Esok kita pergi ziarah pusara ibu lagi." ajak  suara garau anak terunanya. Mereka bertiga berjalan berpelukan menuju ke  kereta. Amri menoleh ke pusara arwah isterinya. Selamat tinggal  sayang.... semoga Alea ditempatkan di kalangan muslimin muslimah yang  soleh. Kau lah isteriku yang solehah. Tak jemu melayan kerenah suamimu  ini dan sudi melahirkan zuariat suamimu ini.
Amri duduk di  tempat bersebelahan pemandu. Arief Amsyar yang telah berusia 23tahun  memandu, Alia Balqis duduk di tempat duduk belakang. Amri sentiasa  memperkenalkan anak-anaknya kepada kemurnian perketi arwah ibu mereka.  Dia boleh berbangga kini, kerana anak-anaknya membesar menjadi anak-anak  yang taat dan berjaya dalam pelajaran.
Amri menatap gambar wajah isteri yang amat dirindui yang amat dia kasihi...
Sayang....  anak-anak kita dah besar... mereka anak yang baik. Seperti ibu mereka.  Abang tak pernah menduakan kasih Alea kerana tidak ada wanita lain yang  layak menjadi isteri abang dan ibu kepada anak-anak kita selain Alea.  Abang rindukan Alea. Abang tak pernah lupa mencintai Allah melebihi  cinta terhadap makhluk ciptaan-Nya. Abang selalu bersyukur kerana Allah  telah mengurniakan Alea untuk abang cintai.
"  Ayah....Balqis rindukan arwah ibu.." sebak Balqis bersuara. Amri menoleh  ke belakang, wajah kerinduan itu direnung. Selepas itu dia berpaling ke  sebelah, seperti Balqis, wajah Arief jugak sarat dengan kerinduan  terhadap arwah ibu yang tidak sempat membesarkan mereka. Azalea pergi  selepas seminggu melahirkan mereka. Amri masih ingat hari terakhir  isterinya bersama mereka. Dia dapat merasakan sesuatu melihat cara  renungan Azalea. Azalea sempat memohon maaf dan memintanya menghalalkan  segalanya. Hari itu memang aneh, Arief dan Balqis yang baru berusia  seminggu masa itu tidak banyak kerenah.
Tersenyum dan  tergelak suka apabila dibelai Azalea. Azalea menyandar di dada Amri  sambil memeluk anak-anaknya erat. Amri sempat mendengar bisikan syahadah  sebelum dada isterinya tidak lagi berombak. Arief dan Balqis tiba-tiba  menangis. Dia sendiri masa itu hanya mampu memeluk isterinya erat  bersama anak-anak mereka. Dia hanya melepaskan isterinya apabila abah  Azalea menariknya perlahan. Air matanya berlinang, dibiar lepas.  Anak-anaknya beralih ke dalam pelukan seorang jururawat dan emak Azalea.  Dia merebahkan tubuh isterinya kekatil dengan hati-hati. Dia mengucup  dahi isterinya. Dia dapat mengesan bekas air mata dipipi isterinya. Dia  tahu, terlalu berat hati isterinya meninggalkannya bersama anak-anak  yang masih terlalu kecil.
" Mesti arwah ibu pun rindukan kitakan ayah." Celah Arief.
"  Percayalah sayang.... Arwah ibu jugak rindukan kamu berdua. Arwah ibu  seorang yang penyayang. Nanti kita akan berkumpul bersama. Jadilah anak  yang soleh." Pesan Amri. Arief dan Balqis angguk.
" Kami  janji, kami akan jadi anak yang baik ayah.. kami sentiasa berdoa untuk  kesejahteraan ayah dan arwah ibu." Ucap Arief. Amri amat bangga dengan  sikap tanggungjawab anak terunanya itu.
" Arief nanti jaga  adik tau. Nek usu, Tok abah dengan tok mak pun kena jaga tau. Dengar  cakap mereka. " Pesan Amri. Dia rasa mengantuk yang amat sangat.
" Ya Allah... hanya Kau berhak disembah. Nabi Muhammad pesuruh Allah." Bisiknya sebelum memejam mata.
Arief  Amsyar memeluk bahu Alia Balqis memandang pusara arwah ibu dan arwah  ayahnya. Doa dikirim untuk insan-insan kesayangan itu. Mereka redha  pemergian arwah ayahnya sudah ditakdirkan. Arwah ayahnya pergi kerana  seruan Ilahi dan rindu kepada arwah ibu. 'Ya Allah ya Tuhanku,  tempatkanlah ayah dan ibu kami di kalangan muslimin muslimah yang soleh.  Ayah.. kami membesar dalam dakapan kasih sayangmu, ibu... kami hidup di  bawah naungan kasihmu. Terima kasih kerana melahirkan kami. Kami  bersyukur menjadi anak-anak kalian.' Bisik pasangan kembar itu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment