Jam 6.30 petang.
Mak  berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bongsu balik dari sekolah agama.
Ayah baru balik dari sawah.
Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “ Ada  di dapur tolong siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”
Mak  jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang  sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak  dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.
Dua puluh tahun kemudian,
Jam 6.30 petang
Ayah balik ke rumah. Baju ayah  basah. Hujan turun sejak tengahari.
Ayah tanya Along, “Mana Mak?”
Along sedang membelek-belek baju barunya.  Along jawab, “Tak tahu.”
Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”
Angah  menonton tv.  Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”
Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh  yang  asyik membaca majalah.
Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"
Ateh  menjawab, “Entah.”
Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.
Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.
Ayah  tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah  tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah  mahu.
Tidak  ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana  Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati  Ayah yang mencari-cari di mana Mak.
Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah  bertanya, "Mana Mak?"
Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”
Tersentap hati Ayah mendengar  kata-kata Adik.
Dulu  anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah.  Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan  pintu.
Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor  1 atau kaki melecet main bola di padang  sekolah.  Mak  resah apabila  anak-anak Mak lambat balik. Mak  mahu tahu di mana semua anak-anaknya  berada setiap waktu dan setiap ketika.
Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"
Semakin anak-anak  Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .
Ayah  berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana  sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak  akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.
Dari jauh  kelihatan sosok Mak berjalan  memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi  payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak  menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan  bagi Mak, Mak akan  bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.
Sampai  di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak.  Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap  bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap  kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat.  Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi  merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu.  Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau  Mak  lakukannya.
Lima buah kereta milik anak-anak  Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa  kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah  bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang  ini.
Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi  salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah  anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.
Mak  letakkan  bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus  kueh  koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak  suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun  raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda  faham.
Semasa  menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak  sempat berkata  kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci  kamu ni." 
Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak  bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana  masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat  keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya  anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.
Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.
Selepas  Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur.  Mak ajak anak-anak Mak makan  kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati  anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.
Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.
Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira  dan  berlari mendakapnya seperti dulu.
Ayah  temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan  anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu.  Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan  setiap malam.
Ayah  tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak  Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak  masak rebung  masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.
Ayah  tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab,  "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua  tak  berangkat."
Mak  minta Mak Uda telepon anak-anak yang  Mak tidak boleh berjalan  balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau  sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan  menjemput Mak dengan kereta.  Mak teringin kalau Ateh yang datang  menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput  Mak.
Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon  berbunyi. Mak  ingat kata-kata ayah , “Kita tak usah susahkan anak-anak.  Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun.  Mereka ada  kehidupan masing-masing. Tak p ayah  sedih-sedih. Maafkan sajalah  anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa  menaiki kereta mereka  sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang  merasa  anak-anak   mengangkat kita kat bahu mereka.”
Mak faham buah hati  Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak  Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah  mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.
Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.
Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.
Beberapa tahun kemudian
Mak Uda tanya  Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.
Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.
Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.
Dalam  isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa  kubur Mak.  Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak  boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang  selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa  Mak  semasa anak-anak Mak kecil dulu.
Mak pergi semasa Along, Angah,  Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah,  Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi  semasa ayah  telepon untuk beritahu mak sakit tenat.
Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.
Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..
Mak  tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu  ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.
Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,
"Mana  Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?"  atau "Mana Adik?".  Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah  itu  dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan  jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap  waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati  anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.
Ayah sedih. Di tepi  kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini  tidak perlu  bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "
Kereta  merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang  dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah  hancur teringat hajat Mak  untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata  Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh  bawalah kita jalan-jalan kat Kuala  Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci  buat bekal."
"Ayah, ayah ....bangun." Suara Ateh memanggil ayah . Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..
Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?" 
Ayah  tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?"  masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.
Sebuah  cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa perasaan  ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila  tua dilambung rasa. KataRasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama  dari ayah . Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri,  pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh  berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan  deringan telefon panggilan dari ibu tanpa berjawab?
Source 
No comments:
Post a Comment