1. Wanita yang terlalu mudah mempercayai lelaki 
Sudah sayang, jadi apa saja yang lelaki/pasangan katakan,  kepercayaan adalah 100 peratus. Bukan kena percaya pasangan separuh atau  tidak sepenuhnya tetapi jangan mudah percaya membuta-tuli dan menerima  apa saja tanpa menggunakan akal fikiran yang waras.  
Contoh mudah: Pasangan anda berkerja sebagai seorang kerani dan  gajinya sebanyak RM1,000 sebulan bersih. Anda pula memang tahu status  kewangan dan cara perbelanjaannya. Dia ada banyak tanggungjawab, bil  untuk dijelaskan setiap bulan dan sebagainya. Kira gajinya cukup-cukup  saja.   
Satu hari, dia belikan anda cincin emas berharga RM700. Anda tanya,  mana dapat duit, dia kata lama menyimpan untuk memberi anda kejutan.  Boleh terima. 
Bila anda tengok pakaiannya pula, semuanya berjenama. Dia mula  berbelanja sakan dan untuk anda pun, macam-macam barang dia belikan.  Anda tanya lagi, mana dapat duit? Dia jawab, ada berniaga dengan kawan.  Anda terus percaya. 
Ingat! Lelaki yang berterus-terang dan jujur dengan pasangannya  akan menyatakan, menjelaskan dengan selengkapnya apa yang ditanya atau  diragui pasangannya. Dia tidak akan menyembunyikan apa pun kerana  baginya, wanita yang disayanginya bukan saja tempat berkasih, malah  tempat berkongsi apa saja. Lagi pun, nak rahsia apa, bukan dengan orang  lain? 
Jadi, jika anda berasa ragu, tanya pasangan anda, jangan  tunggu, jangan simpan. Cuma pastikan anda bertanya kepada dia pada masa  dan keadaan yang sesuai. Percaya sepenuhnya atau sebarangan boleh  meletakkan anda dalam bahaya.     
2. Wanita yang `terdesak’ untuk berkahwin 
Usia yang semakin lanjut membuatkan ramai wanita yang belum berpasangan risau akan status diri.  
Walaupun pada zaman yang semakin canggih ini, wanita berkerjaya  lewat berkahwin adalah perkara biasa, namun majoriti wanita yang semakin  meningkat usianya risau jika masih belum mempunyai pasangan hidup. 
Risau usia semakin meningkat, ditambah pula dengan tekanan  daripada ibu bapa, pandangan masyarakat,    dan juga kerisauan terhadap  peluang untuk mendapatkan cahaya mata yang semakin kurang jika berkahwin  lambat. 
Dalam keadaan seperti ini, kadangkala mereka boleh `terlepas  pandang’ mengenai sikap, kualiti dan peribadi lelaki yang dipilihnya  itu.   
Wanita yang berkahwin lewat pada zaman ini pula kebanyakannya  berkerjaya, secara tidak langsung bermakna mereka mempunyai tahap  kewangan yang stabil. Ini memungkinkan wanita begini menjadi mangsa  `buaya profesional’, yang sentiasa mencari peluang untuk mengambil  kesempatan ke atas wanita seperti ini. Kalau anda wanita seperti ini,  ingat...biar lambat, asal selamat! 
3. Wanita `sosial’ 
Wanita yang sosial, suka pada hiburan malam, berparti, disko,  pergaulan bebas dan berpegang pada falsafah `masa muda inilah nak  berseronok dan rasa macam-macam’, mereka sebenarnya `mengiklankan’ diri  kepada spesies lelaki pemangsa wanita. 
Bersosial tanpa batasan adalah antara resipi utama yang  menyebabkan ramai wanita dan gadis remaja ditipu (dalam pelbagai aspek)  oleh lelaki tidak bertanggungjawab. 
4. Wanita yang tidak mementingkan ilmu 
Wanita yang mementingkan ilmu dalam konteks percintaan,  perkahwinan dan memilih pasangan hidup bukanlah bermaksud wanita yang  mempunyai ijazah berjela-jela dari universiti terkenal.  
Wanita berilmu dalam konteks ini ialah wanita yang mampu  memandu dirinya supaya tidak `terpilih’ lelaki penipu dan berbahaya.  Jika dia `terjebak’ sekali pun dengan lelaki penipu/berbahaya, dia tahu  apa yang perlu dilakukan atau di mana untuk mendapatkan bantuan yang  sewajarnya. 
Wanita berilmu juga bermaksud wanita yang tahu haknya sebagai  wanita dan isteri. Wanita yang berilmu berani `membetulkan’ keadaan dan  mempertahankan haknya apabila perhubungan atau perkahwinannya terganggu  atau diganggu sama ada oleh pihak ketiga atau pasangannya sendiri. 
Wanita berilmu mampu menjadi pasangan atau isteri yang sentiasa menjadi kebanggaan pasangan atau suami.  
5. Wanita yang memandang faktor fizikal sebagai satu ciri utama pada lelaki idamannya 
Mudah jatuh cinta dengan lelaki kacak, comel atau macho serta mempunyai susuk tubuh yang menggoda? 
Wanita perlu ingat, semakin kacak dan seksi seseorang lelaki itu,  semakin usaha perlu digandakan meningkatkan `sistem pertahanan diri’. 
Perlu diingat, paras rupa dan susuk tubuh tidak sepatutnya  menjadi ciri utama lelaki idaman wanita. Ia seharusnya hanya menjadi  ciri bonus yang ada pada lelaki. 
6. Wanita yang sabar tidak bertempat 
Wanita seperti ini boleh dikategorikan sebagai jenis yang selalu  `makan hati berulam jantung’ atau  mungkin juga `makan tangan berulam  kaki’. Dia didera secara mental dan fizikal oleh pasangan, tidak  dihargai, sentiasa diambil kesempatan oleh pasangan atau suaminya,  tetapi masih tetap bersama lelaki itu walaupun dia sedar, dia terseksa  dan tertekan. 
Wanita begini sentiasa berharap pasangannya akan berubah pada  satu masa nanti. Tidak salah bersabar tetapi jika kesabaran itu akhirnya  membawa mudarat kepada diri sendiri, sesuatu perlu dilakukan. 
Terus bersabar walau diperlakukan apa saja oleh lelaki atau  pasangan seolah-olah memberi `lesen’  kepada pasangan untuk terus  mendera, menipu dan menghina maruah wanita. Ingat kata orang dulu-dulu,  'sabar biarlah bertempat.
No comments:
Post a Comment