KOTA BHARU: Seorang ayah dihukum penjara setahun enam bulan dan denda  RM2,500, manakala anak perempuannya didenda RM2,000 oleh Mahkamah Tinggi  Syariah di sini, semalam selepas mengaku salah bersekedudukan sehingga  mempunyai tiga anak. 
Hakim Syarie Abu Bakar Abdullah Kutty dalam penghakimannya turut  mengeluarkan perintah supaya anak beranak itu tidak tinggal bersama  dalam sebuah rumah untuk selamanya bagi mengelakkan kejadian sama  berulang.  
Lelaki berusia 45 tahun dari Tumpat yang bekerja sendiri itu turut  berdepan tambahan penjara enam bulan jika gagal membayar denda.   
Anaknya berusia 25 tahun pula berdepan tindakan penjara enam bulan jika gagal membayar denda RM2,000 itu. 
Mengikut pertuduhan, lelaki itu pada jam 1.30 pagi semalam bertempat  di sebuah rumah di Wakaf Bharu, Tumpat didapati berkelakuan sumbang dan  bersekedudukan dengan anak perempuannya sehingga melahirkan tiga anak. 
Wanita itu pula pada tarikh, lokasi dan masa sama didapati  berkelakuan sumbang dan bersekedudukan dengan bapanya sehingga  melahirkan tiga anak. 
Berikutan itu, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan yang boleh  dihukum mengikut Seksyen 10 Kanun Jenayah Syariah Nombor 2/85 Negeri  Kelantan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua  tahun dan denda RM3,000.     
Berdasarkan fakta kes, bertindak atas maklumat awam,  penguat kuasa  agama Tumpat membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Wakaf Bharu, sebaik  sampai di kediaman itu didapati pintu rumah tertutup rapat dan berkunci  dari dalam. 
Kemudian pintu rumah dibuka seorang lelaki dan pemeriksaan di sebuah  bilik mendapati seorang lelaki serta seorang perempuan sedang tidur. 
Selain itu, terdapat dua kanak-kanak di samping mereka, hasil soal  siasat didapati mereka mempunyai hubungan sebagai bapa dan anak  (mahram). 
Berikutan itu, kedua-dua mereka ditangkap kerana melanggar  undang-undang Kanun Jenayah Syariah 2/85 Negeri Kelantan (tidur sebilik  antara bapa dan anak perempuan).  
Timbalan Pendakwa Syarie negeri, Zaini Sulaiman, berkata tertuduh  perlu dijatuhi hukuman setimpal memandangkan perbuatan mereka yang keji.
Sumber: Berita Harian 
No comments:
Post a Comment