PERKARA 11 Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kepada setiap rakyat  menganut dan mengamalkan ajaran agamanya tetapi Perkara 11 juga memberi  sekatan kepada pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan penganut  Islam.   
Ini disebabkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan  kedudukan istimewa agama Islam berbanding agama lain di Malaysia. Hal  itu diakui penghakiman mahkamah seperti dalam kes Meor Atiqurrahman dan  Lina Joy.    
Perkara 11(4) Perlembagaan menyatakan undang-undang boleh digubal  badan perundangan negeri dan Parlimen bagi Wilayah Persekutuan untuk  mengawal penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan umat Islam.  
Setakat ini, empat negeri masih belum menggubal undang-undang  mengawal pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam iaitu  Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. 
Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang  Islam itu mewujudkan kesalahan yang boleh dilaksanakan di Mahkamah Sivil  dan menyatakan dengan terperinci kalimah serta frasa yang tidak boleh  digunakan bukan Islam bagi merujuk agama mereka.  
Ramai cuba berhujah berkaitan undang-undang ini walaupun mereka  sendiri tidak pernah membaca undang-undang itu. Undang-undang ini bukan  menghalang orang bukan Islam menyebut kalimah dan frasa mempunyai asal  agama Islam tetapi menjadi kesalahan jika kalimah dan frasa itu dirujuk  untuk agama bukan Islam.      
Umpamanya kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat jika dirujuk  kepada agama Islam tidak menjadi kesalahan bagi bukan Islam  mengucapkannya. Ia hanya menjadi kesalahan jika kalimah itu dirujuk  kepada agama bukan Islam seperti Allah sebagai tuhan penganut Kristian,  Baitullah sebagai gereja orang Kristian ataupun solat sebagai upacara  sembahyang penganut Kristian.  
Selain kalimah dan frasa, undang-undang itu melarang penerbitan bahan agama bukan Islam diberikan kepada orang Islam. 
Timbul kembali isu mengenai Bible berbahasa Melayu yang dirampas  pihak berkuasa. Bible berbahasa Melayu ini sarat dengan perkataan dan  frasa yang dilarang dirujuk bagi agama bukan Islam.  
Undang-undang menghalang penggunaan perkataan dan frasa itu pula  masih lagi berkuat kuasa dan tidak dimansuhkan di sesetengah negeri.  Oleh itu, tindakan pihak berkuasa merampas Bible mengandungi perkataan  terlarang itu sejajar undang-undang kawalan pengembangan agama bukan  Islam dalam kalangan orang Islam. 
Hak mengembangkan agama bukan Islam melalui Bible berbahasa Melayu  ini sebenarnya tertakluk kepada peruntukan Perkara 11(4). Ia tidak  boleh diberikan, dijual atau dicetak untuk orang Islam. Sekiranya  Perlembagaan ini dapat diikuti dan perkataan terlarang itu dikeluarkan  mungkin ia boleh dibenarkan. 
Mungkin sudah menjadi aliran sekarang ini agama lain langsung  tidak boleh disentuh tetapi apabila  berkaitan dengan agama Islam semua  mahu menjadi mufti mengeluarkan fatwa termasuklah orang bukan Islam.  
Ada kalangan bukan Islam melabelkan sesetengah orang itu lebih  fakih Islamnya berbanding orang lain semata-mata kerana orang itu  mengeluarkan pandangan agak liberal. Tanpa segan silu mereka  mempersoalkan isu Islam tanpa mengambil kira sensitiviti umat Islam  termasuklah mufti yang mengeluarkan fatwa.  
Dalam kalangan orang Islam juga ada yang terlalu takjub dengan  logika akal dalam isu Bible berbahasa Melayu ini dalam erti kata  mendaulatkan bahasa kebangsaan. Persoalannya apakah dalam isu Bible ini  saja kita mahu mendaulatkan bahasa kebangsaan tetapi tidak dalam aspek  lain seperti pendidikan, penggunaan bahasa kebangsaan di mahkamah dan  dokumentasi perundangan? 
Mengapa tidak pula mereka memimpin isu ini? Kenapa hanya dalam  isu Bible berbahasa Melayu saja mahu ditegakkan penggunaan bahasa  Melayu? 
Bagi saya, isu agama Islam hendaklah diletakkan kepada pakar  agama Islam. Saya sendiri agak kekok untuk mengeluarkan hukum kerana  saya bukan graduan lulusan agama. Undang-undang kawalan agama adalah  hasil dari permesyuaratan ahli agama.  
Ia bukanlah suatu yang dipolitikkan seperti sering ditohmah.  Masyarakat kini terlalu mudah menuduh sesuatu perkara itu dipolitikkan  pihak kerajaan sedangkan ia tidak benar, dalam hakikat sebenar orang  yang menuduh itulah yang mempolitikkan isu agama ini. 
Saya menyarankan supaya sebelum isu enakmen kawalan agama bukan  Islam dalam kalangan orang Islam atau Bible berbahasa Melayu  diperkatakan, bacalah dulu undang-undang berkenaan. 
Tidak cukup dengan undang-undang itu, bacalah juga hansard  (perbahasan di Parlimen/ dewan undangan negeri) ketika undang-undang itu  digubal bagi mengetahui undang-undang dan falsafahnya. Membuat  sanggahan atau komentar terhadap sesuatu undang-undang yang seseorang  itu sendiri tidak pernah membacanya adalah amat memalukan.
sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/FahamiaktasebelumbincangisuIslam/Article
No comments:
Post a Comment