Perbuatan serius walaupun kes terpencil 
SEORANG guru wanita sebuah sekolah di Forth Worth, Amerika Syarikat,  meletakkan jawatan selepas didakwa menjalin hubungan seks dengan  pelajarnya, yang berusia 16 tahun. Akibat perbuatan itu, guru terbabit,  Jennifer Riojas, 25, yang turut mengandungkan anak pelajarnya itu  ditahan di sebuah penjara sementara menunggu diikat jamin sebanyak  AS$20,000 (RM62,310).  
Di Malaysia pula, baru-baru ini, kisah guru wanita ‘mengusik’ pelajar  lelaki didedahkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).  Guru wanita itu dilaporkan ‘mengusik’ pelajar lelaki sekolah menengah  yang dikatakan memiliki paras rupa atau penampilan menarik.    
Ia memperlihatkan semuanya boleh berlaku. Sebelum ini, biasa kita  dengar guru lelaki melakukan pelbagai salah laku, mengambil kesempatan  ke atas murid, terutama perempuan seperti ‘mengusik’, mencabul  kehormatan atau merogol ketika di sekolah atau tuisyen.  
Jarang sekali kita dengar, guru perempuan tidak bermoral seperti  itu tetapi hakikatnya, perkara itu berlaku sekali gus menambah calar  pada kerjaya mulia ini. 
Guru, ibarat ibu bapa kedua, yang diharap membimbing anak menjadi  insan berwibawa, berwawasan dan cemerlang dalam pencapaian akademik dan  kehidupan masa depan, melencong daripada tugas hakikinya itu. Walaupun  kes salah laku guru ini terpencil, ia satu perkara yang tidak dapat  diterima akal dan membimbangkan ibu bapa. 
Suhu kemarahan ibu bapa pasti meninggi, apabila guru yang  sepatutnya menjadi contoh dan diamanahkan mendidik di sekolah mempunyai  sifat keji melakukan kesalahan dari segi seksual. Ibaratkan pagar, pagar  makan padi, itu gambaran paling sesuai buat golongan sebegini.     
Guru wanita selalunya lebih memiliki keperibadian terpuji, malah  kerjaya itu dilihat sesuai dengan keterampilan mereka. Tidak hairanlah  majoriti daripada kira-kira 390,000 guru di seluruh negara adalah  wanita.  
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional  (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hassan, mencela tindakan guru  wanita itu, lantas mendesak semua guru tidak kira lelaki atau wanita   teguh menegakkan prinsip utama profesyen mereka. 
Guru, tegasnya, perlu sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme,  proaktif, berprestasi, berperadaban, menambah baik serta sabar dalam  melaksanakan tugasnya. 
“Guru adalah contoh kepada pelajar. Mereka bukan saja mampu  meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar semata-mata, tetapi pada  masa sama, juga mampu menyeimbangkan akhlak dan sahsiah pelajar. Oleh  itu, guru sendiri perlulah beretika supaya kredibiliti terus terpelihara  serta dihormati,” katanya. 
Justeru, beliau mendapati, bagi kes guru yang terpesong daripada peranan utamanya, mereka itu perlu dikenakan tindakan tegas. 
Pada zaman globalisasi ini, peranan guru lebih mencabar dan mereka  bijak mengatasi tekanan. Mungkin juga ada guru yang gagal mengawal  tekanan dan bebanan tugas sebagai pendidik, mereka cuba melonggarkan  minda dengan melakukan perbuatan kurang bermoral. 
“Saya tidak terperanjat jika ada guru wanita yang sudah tidak  segan silu ‘mengusik’ pelajar. Nisbah guru wanita lebih ramai daripada  lelaki. Ibu bapa pula terlalu menaruh harapan kepada guru untuk  memberikan yang terbaik untuk anak. Dengan pengetahuan dan kemahiran  yang tidak meningkat, skop kerja semakin banyak, termasuk melakukan  tugas pentadbiran selain mengajar, menjadikan mereka tertekan. 
“Jadi, tidak mustahil ada guru yang lepaskan tekanan dengan cara  ini. Bagi guru wanita yang berperangai sebegitu, mereka perlu cepat  muhasabah diri. Jangan nanti kerana kes terpencil ini, imej guru akan  tercabar dan tercalar,” katanya.  
Lantaran, beliau mengharapkan Kementerian Pelajaran sentiasa ada  penambahbaikkan untuk meningkatkan jati diri, memantapkan disiplin guru  yang boleh dilakukan seperti menerusi bengkel dan seminar. 
PIBG umpamanya, kata beliau, menganjurkan bengkel Tangani Tekanan  dan Kesihatan Mental Dari Perspektif Guru dan Ibu bapa serta Seminar  Jati Diri.
source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Guruwanita_gatal_/Article 
No comments:
Post a Comment