Tersebutlah alkisah di negeri Mesir terdapat kerajaan yang diketuai oleh  raja yang terakhir bernama Fir’aun yang terkenal dengan keganasan dan  tidak berperikemanusian. Setelah kematian isterinya beliau hidup  bersendirian tanpa teman hidup. Pada ketika itu tersebutlah satu kisah  di mana seorang gadis jelita dari keturunan keluarga Imran yang  baik-baik dan solehah yang bernama Siti Asiah yang sentiasa menjadi  sebutan di kalangan pemuda-pemuda Mesir kerana keperibadian dan  kejelitaannya.
Kisah kejelitaan Siti Asiah telah sampai ke telinga  Fir’aun dan suatu hari beliau teringin untuk memperisterikan Asiah  sebagai permaisurinya. Maka diutuskan seorang Menteri bernama Haman  untuk merisik. Ibu bapa Asiah telah bertanya kepada tuan empunya diri  tetapi Asiah telah menolak lamaran tersebut dan berkata kepada kedua ibu  bapanya bahawa Fir’aun adalah seorang raja yang ingkar kepada Allah SWT  dan tidak berperikemanusiaan.
Tidak lama kemudian Haman, utusan  Fir’aun datang kembali untuk bertanyakan tentang lamaran tersebut dan  alangkah marahnya beliau setelah mendapat tahu yang lamaran Fir’aun  telah ditolak. Ibu bapa Asiah telah dicaci dan dihina. Haman kemudian  telah pulang dan memberitahu kepada Fir’aun akan berita buruk tersebut  dan Fir’aun telah menjadi marah dan memerintahkan supaya kedua ibu bapa  Asiah ditangkap. Mereka telah diseksa dan dimasukkan ke dalam penjara.  Setelah itu Asiah ditangkap dengan menggunakan kekerasan dan kemudian  dibawa ke istana Fir’aun dan bertemu dengannya.
Di hapadapan Fir’aun,  Asiah kemudiannya telah diketemukan dengan kedua ibu bapanya di dalam  penjara. Asiah amat sedih melihat keadaan kedua orang tuanya yang  disiksa oleh Fir’aun.
Kemudian Fir’aun berkata:
“Hai Asiah, jika  engkau seorang anak yang baik, tentulah engkau akan sayang terhadap  orang tuamu, maka oleh kerana itu engkau boleh pilih satu antara dua.  Kalau kau menerima lamaranku bererti engkau akan hidup senang dan akan  aku bebaskan kedua orang tuamu. Dan sebaliknya jika engkau menolak  lamaranku,maka aku akan perintahkan mereka untuk membakar hidup-hidup  kedua orang tuamu di hadapanmu.”
Oleh kerana ancaman itu, maka Siti Asiah terpaksa menerima pinangan Fir’aun akan tetapi beliau telah meletakkan beberapa syarat:
1.  Bahawa Fir’aun harus membebaskan kedua ibubapanya.
2. Harus membuatkan  rumah yang indah lengkap dengan perkakas
3. Bahawa orang tuanya harus  dijamin kesihatan beserta makan dan minumnya.
4. Bahawa Asiah bersedia  menjadi isteri Fir’aun, hadir dalam acara-acara tertentu tetapi tidak  bersedia tidur bersama Fir’aun.
Sekiranya permintaan-permintaan tersebut tidak dipersetujui, beliau rela mati dibunuh bersama kedua ibu bapanya.
Akhirnya  Fir’aun bersetuju menerima syarat-syarat tersebut dan memerintahkan  agar rantai belengu yang ada di kaki dan tangan Asiah dibuka. Kini Asiah  telah hidup mewah dan tinggal bersama-sama Fir’aun di dalam istana yang  indah. Akan tetapi ia tidak membawa pengaruh terhadap kehidupan  peribadi Asiah. Asiah tidak pernah engkar terhadap perintah agama dan  beliau tetap taat mengerjakan ibadah kepada Allah SWT.
Pada malam hari  beliau selalu mengerjakan solat dan beribadah kepada Allah SWT. Beliau  sentiasa berdoa agar kehormatannya tidak disentuh oleh orang kafir  miskipun suaminya Fir’aun. Bagi menyelamatkan Asiah dan menjaga  kehormatannya, Allah SWT telah menciptakan iblis yang menyamar dirinya  sama seperti rupa Asiah untuk tidur bersama Fir’aun.
Fir’aun  sebenarnya mempunyai seorang pegawai yang amat dipercayai dan rapat  dengannya yang bernama Hazaqil. Hazaqil telah berjaya merahsiakan  identitinya yang sebenar. Hazaqil amat taat dan beriman kepada Allah  SWT. Beliau adalah suami kepada Siti Masyithah yang bekerja sebagai juru  hias istana yang juga amat taat dan beriman kepada Allah SWT.
Pada  suatu hari maka terjadilah perdebatan yang hebat antara Fir’aun dengan  Hazaqil di mana Fir’aun telah menjatuhkan hukuman mati terhadap ahli  sihir yang beriman kepada Nabi Musa AS. Hazaqil menetang keras terhadap  hukuman yang dijatuhkan kepada mereka semua kerana mereka semuanya  beriman kepada Allah SWT. Mendengar akan kata-kata Hazaqil, Fir’aun  menjadi marah. Akhirnya Fir’aun dapat tahu yang Hazaqil telah engkar  kepada beliau dan kemudiannya telah dijatuhkan hukuman mati kepada  Hazaqil. Hazaqil menerimanya dengan tabah dan tidak merasa gentar demi  untuk membela kebenaran. Hazaqil telah meninggal dunia dengan kedua-dua  tangannya diikat pada pohon kurma dengan tembusan beberapa anak panah.  Isterinya yang bernama Masyitah amat sedih sekali di atas kematian  suaminya yang tersayang itu. Beliau sentiasa dirundung kesedihan dan  tiada lagi tempat mengadu kecuali kepada 2 orang anaknya yang masih  kecil. Pada suatu hari Masyitah telah mengadu nasib kepada Asiah  mengenai nasib yang menimpa dirinya. Di akhir perbicaraan mereka, Asiah  juga telah menceritakan tentang keadaan dirinya yang sebenar. Hasil dari  perbicaraan itu, barulah kedua-duanya mengetahui perkara sebenar bahawa  mereka adalah wanita yang amat beriman kepada Allah SWT dan Nabi Musa  AS.
Pada suatu hari ketika Masyitah sedang menyisir rambut puteri  Fir’aun, sisirnya jatuh dan ketika hendak mengambilnya, Masyitah seraya  berkata:“Dengan nama Allah binasalah Fir’aun”.Mendengarkan akan ucapan  Masyitah, Puteri Fir’aun telah menegur Masyitah dan beliau rasa  tersinggung dengan ucapan Maysitah itu. Beliau telah melaporkan kepada  ayahandanya. Masyitah tidak sedikit pun berasa gentar dengan  kata-katanya itu. Masyitah akhirnya telah dipanggil oleh Fir’aun dan  Fir’aun telah bertanya kepada Masyitah tentang ucapannya itu dan  siapakah Tuhan yang disembahnya. Masyitah telah mengaku tentang apa yang  telah diucapkannya dan dengan beraninya berkata:“Tiada Tuhan selain  Allah SWT yang sesungguhnya menguasai segala alam dan isinya”
Mendengar  jawapan dari Masyitah, Fir’aun menjadi amat marah dah memerintahkan  pengawalnya untuk memanaskan minyak di dalam kuali yang besar, maka  minyak itu dipanaskan sehingga mendidih, kemudian orang ramai dipanggil  untuk menyaksikan hukuman yang telah dijatuhkan ke atas Masyitah.  Masyitah sekali lagi dipanggil oleh Fir’aun dan diberi pilihan iaitu:
(i)  Jika Masyitah ingin selamat bersama kedua anaknya, beliau haruslah  engkar terhadap Allah SWT.
(ii) Masyitah haruslah mengaku bahawa Fir’aun  adalah Tuhan yang disembah. Jika tidak mengaku Fir’aun sebagai Tuhannya,  Masyitah akan dimasukkan ke dalam kuali bersama anak-anaknya.
Akan  tetapi Masyitah tetap dengan pendiriannya yang beriman kepada Allah SWT.  Masyitah pun membawa kedua anaknya itu untuk menuju ke kuali tersebut.  Beliau memandang akan anak yang sedang menyusu yang berada dalam  pelukannya. Tetapi dengan takdir Tuhan, anaknya yang masih kecil itu pun  berkata supaya jangan takut dan sangsi kerana kematiannya itu akan  mendapat ganjaran dari Allah SWT dan pintu syurga terbuka menanti  kedatangan mereka.
Kemudian Masyitah dan anak-anaknya pun terjun ke  kuali yang mendidih tersebut tanpa mengeluarkan jeritan dari mulutnya.  Dan saat itu pun terjadi keanehan di mana tiba-tiba terciumlah bau wangi  yang harum semerbak dari kuali itu.
Asiah yang telah menyaksikan  kejadian itu telah memarahi Fir’aun dengan kata-kata yang pedas dan  tidak sudi lagi menjadi isteri Fir’aun dan sanggup mati seperti  Masyitah. Mendengar ucapan Asiah, Fir’aun telah menjadi marah dan  menganggap bahawa Asiah gila. Fir’aun kemudiannya telah menyiksa Asiah  tanpa diberi makan dan minum sehingga Asiah meninggal dunia. Tetapi  sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, ia sempat berdoa kepada Allah  SWT sebagaimana yang tersirat dalam Al-Quran:
Maksudnya:“Dan Allah  mengemukakan satu misal perbandingan (yang mengatakan tidak ada  mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan  orang-orang kafir bahawa kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu:  perihal isteri Fir’aun, ketika ia berkata: Wahai Tuhanku! Binalah  untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga, dan selamatkanlah daku  dari Fir’aun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah  daku dari kaum yang zalim”.(Surah At-Tahrim: Ayat 11)
Demikianlah  kisah Asiah dan Masyitah, semoga kita dapat mengambil iktibar dan  mengikuti jejaknya, hingga kedua-duanya meninggal dalam keadaan iman  yang teguh terhadap Allah SWT. Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat  kepada keduanya. Amin….
source: nengikha.blogspot.com
No comments:
Post a Comment